mutakhir

Bekas Setiausaha MOSTI kekal tidak bersalah

Oleh Dawn Chan

Shah Alam: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abdul Hanan Alang Endut lega selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan beliau daripada 10 pertuduhan rasuah berjumlah RM59,390, sembilan tahun lalu.

Sejurus Hakim Datuk Abdul Halim Aman memaklumkan keputusan itu, beliau berusia 65 tahun dipeluk isterinya yang turut hadir memberikan sokongan moral.

Abdul Hanan berkata, dia gembira kerana sekali lagi menjadi individu yang bebas.

“Saya lega dan bersyukur kepada Allah. Apa jua yang berlaku selepas ini, saya tidak mahu tahu,” katanya ringkas sebelum meninggalkan mahkamah itu.

Pada 30 Mac 2012, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Hanan bagi semua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 tanpa dipanggil membela diri selepas 34 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Dia didakwa menerima rasuah dalam bentuk cek United Overseas Bank kosong milik Adam Omar sebagai upah meluluskan TechnoFund untuk syarikatnya, Global Goodway (M) Sdn Bhd.

di Seksyen 17 Petaling Jaya, antara 1 hingga 15 Disember 2008.

Abdul Hanan turut didakwa menunaikan cek itu diterimanya dari 15 Disember 2008 hingga 27 Februari 2009 bagi lima tujuan berbeza termasuk pembaikan rumah, pembayaran zakat pendapatan, kad kredit, cukai taksiran bagi tiga premis dan cukai tanah di Mukim Sungai Raya.

Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, mahkamah meneliti semua fakta, hujahan pendakwaan dan pembelaan serta keterangan tertuduh yang dikemukakan sebelum ini.

“Keterangan responden (Abdul Hanan) dalam rakaman percakapan konsisten mengenai status pemberian dan penerimaan cek itu semata-mata sebagai pinjaman daripada sahabatnya tanpa faedah.

“Pinjaman diberikan juga bukan tujuan lain khususnya rasuah. Justeru, rayuan pendakwaan tiada merit dan ditolak sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hazirah Azeman manakala Abdul Hanan diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 8:58am
d