mutakhir

Tiada daya lagi

Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: Kehidupan dua beranak di Kampung Gong Garu, Gaal, di sini, cukup menyedihkan dengan sampah menimbun di dalam rumah yang turut menjadi habitat tikus sejak 10 tahun lalu.

Bukan malas untuk mengemas, tetapi Fatimah Awang Kechik, 76, tidak mampu melakukan sebarang kerja disebabkan penglihatannya yang kabur manakala anak bongsunya, Mohd Nunsi Abdul Rahman, 36, pula orang kurang upaya mental.

Sejak kematian suami, Abdul Rahman Kadir pada 2007, kehidupan Fatimah atau lebih dikenali sebagai Moksu dan Mohd Nunsi semakin tidak terurus.

Kedua-duanya hanya bergantung harap kepada ihsan dan bantuan jiran, Aida Riffin, 42, untuk mendapatkan makanan dan membeli barang keperluan lain.

Fatimah berkata, dia sedar rumahnya menjadi sarang tikus disebabkan sampah-sarap yang memenuhi rumah dan persekitaran kediaman, namun dia tidak mampu membersihkannya kerana penglihatan yang kabur selain faktor usia.

“Untuk bergerak, saya berpandukan dinding rumah dan memegang apa benda yang boleh dicapai. Nunsi tidak membantu kerana dia hanya duduk memerap di tepi tingkap sepanjang hari.

“Apabila penat, dia tidur dan saya perlu pastikan dia tidak melakukan perkara tidak elok. Tidak boleh juga nak sekat kemahuannya kerana bila enggan, dia mengamuk.

“Apabila dia mula mengamuk, pintu atau tingkap rumah dirosakkan. Saya bernasib baik kerana selama ini dia tidak pernah memukul atau cederakan saya.

“Soal tidur, di mana-mana ceruk rumah ini boleh jadi tempat kami tidur. Hanya beralaskan simen dan berselimutkan kain batik disebabkan tilam sudah mereput,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurut warga emas itu, dia pernah dinasihati pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya tinggal di rumah jagaan orang tua supaya dirinya lebih terjaga.

Namun, katanya, dia enggan menerima pelawaan itu kerana tidak sanggup berpisah dengan Mohd Nunsi yang dianggap separuh nyawanya, apatah lagi tiada orang dapat menjaga anaknya itu.

“Ada dua lagi anak saya, tetapi mereka pun hidup susah. Ada juga mereka datang menjenguk kami, namun apalah yang dapat dilakukan kerana mereka juga ada tanggungjawab,” katanya yang menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan manakala Mohd Nunsi menerima RM250 sebulan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Ketika kunjungan JKM Pasir Puteh dan badan sukarelawan, The Third Force, kelmarin untuk bergotong-royong membersihkan kediamannya, Fatimah dilihat sebak kerana terharu dengan keprihatinan masyarakat membantunya dan Mohd Nunsi.

Pegawai JKM Pasir Puteh, Wan Nor Hayati Wan Husain berkata, pihaknya terpanggil melakukan gotong-royong selepas mendapati kedua-duanya tidak berkemampuan untuk melakukan pembersihan rumah.

“Bersama-sama The Third Force diketuai Raja Shamri Raja Hussin, kita turut menyumbangkan tilam, bantal, selimut, kelambu dan pakaian kepada mereka.

“Disebabkan kehidupan Fatimah dan Nunsi tidak terurus, mereka layak diletakkan di bawah program Khidmat Bantuan Di Rumah di mana seorang sukarelawan membantu menguruskan kehidupan harian mereka,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 9:02am
d