mutakhir

Bayar RM60 untuk kasut RM6,000

Kuala Lumpur: Kasut jenama Gucci dan Louis Vuitton yang mencecah RM6,000 hanya dijual pada harga promosi RM60 sepasang.

Itu antara strategi digunakan beberapa peniaga barangan tiruan dalam usaha mendapatkan keuntungan lumayan.

Kegiatan itu bagaimanapun dikesan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hasil serbuan di dua premis perniagaan di Jalan Pudu, di sini, tengah hari semalam.

Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kualiti kasut tiruan yang dirampas itu mempunyai jahitan kurang kemas, selain menggunakan bahan yang tidak berkualiti.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, enam anggota dan pegawai penguat kuasanya menyerbu dua premis bersama seorang wakil cap dagang.

“Kami mengesan pemilik premis berkenaan menjual kasut jenama Gucci dan Louis Vuitton pada harga semurah RM60 hingga RM100 bergantung kepada jenis dan kualiti kasut.

“Dalam serbuan ini, kami merampas 268 kasut tiruan jenama Louis Vuitton dan 226 kasut jenama Gucci. Selain itu, kami turut merampas 137 kasut jenama Nike, 21 jenama Puma dan 79 jenama Converse,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM33,660.

Dalam serbuan berasingan di sebuah premis di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, KPDNKK turut merampas 999 kasut tiruan jenama Gucci, Louis Vuitton, Puma dan Nike.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.

Disiarkan pada: March 1, 2017 @ 5:04am
d