mutakhir

6 kapal tempur TLDM sedia awal

Lumut: Enam kapal tempur pesisir atau ‘Littoral Combat Ship’ (LCS) membabitkan dua yang masih dalam proses pembinaan dan empat lain dijadual dibina secara berperingkat-peringkat dijangka diserahkan lebih awal kepada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, aset baru bernilai RM9 billion itu dibuat sepenuhnya di negara ini hasil usaha strategik antara Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dengan TLDM.

Beliau berkata, kapal tempur terbesar di negara ini akan disiapkan dan diterima secara berperingkat-peringkat bermula April 2019.

Menurutnya, ini berikutan komitmen yang diberikan BNS termasuk mempertingkatkan tahap pengurusan semasa kerja pembinaan dijalankan mampu menyiapkan kapal LCS dalam masa lebih singkat.

“Mengikut kontrak kapal terakhir akan diserahkan pada tahun 2023, namun BNS akan usahakan supaya ia dapat disingkatkan dari tempoh ditetapkan dan perkembangan kerja pembinaan juga berjalan lancar dan sudah siap 50 peratus.

“Kita berharap kapal pertama dapat digunakan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) akan datang dalam masa dua tahun ini,” katanya di Majlis Peletakan Lunas Kapal LCS 2 di BNS di Pangkalan TLDM, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Pengarah Urusan BNS, Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Katanya, LCS antara projek pemodenan sistem pertahanan maritim yang turut merangsang ekonomi negara.

Disiarkan pada: March 1, 2017 @ 5:06am
d