mutakhir

200 saksi perbicaraan ubah wang bekas pengarah JANS

Kota Kinabalu: Sekurang-kurangnya 200 saksi akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan peringkat pendakwaan kes bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), isterinya dan seorang lagi bekas timbalan pengarah di jabatan itu yang dituduh atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM61.57 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Husmaruddin Hussin memberitahu perkara itu pada prosiding sebutan semula kes berkenaan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, semalam.

Terdahulu, Abu Bakar menetapkan kes itu dibicarakan antara 4 dan 7 Julai, 25 dan 28 Julai serta 22 dan 25 Ogos depan. Beliau juga menetapkan 4 Mei bagi pengurusan kes.

Pada 29 Disember lalu, tertuduh, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, isterinya, Fauziah Piut, 51, dan Lim Lam Beng, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Awang Mohd Tahir didakwa atas 12 pertuduhan iaitu lapan tuduhan memiliki wang RM56,965,329.15 dalam empat akaun bank, dua pertuduhan memiliki enam kenderaan mewah, satu tuduhan memiliki 86 jam tangan mewah pelbagai jenama dan tuduhan terakhir, terbabit dalam transaksi wang tunai RM14,000 kepada Cristine Fiona M Ponsoi.

Tertuduh yang berkhidmat di JANS sejak 1991 didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Isterinya, Fauziah pula berdepan 19 pertuduhan antaranya memiliki wang berjumlah RM2,229,632.65 dalam 18 akaun bank berlainan di Sabah serta memiliki 93 beg pelbagai jenama hasil daripada aktiviti haram berkenaan.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001.

Selain itu, pasangan suami isteri terbabit turut berdepan dua pertuduhan mengikut seksyen dan akta sama, masing-masing atas tuduhan memiliki barang perhiasan iaitu 575 jenis emas dan 346 jenis bukan emas.

Lim pula yang bersara daripada jabatan itu pada 2015 dituduh memiliki wang RM2.38 juta hasil aktiviti haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001.

Disiarkan pada: March 1, 2017 @ 5:10am
d