mutakhir

Pelajar cacat penglihatan cemerlang

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Berdepan masalah cacat penglihatan kedua-dua belah mata bukan halangan buat A Mahvithia dari Kolej Tingkatan Enam Seri Putera, di sini, memperoleh keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mahvithia, 22, berjaya mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.92 dengan memperoleh A bagi mata pelajaran Sejarah dan B bagi subjek Bahasa Melayu, Pengajian Am dan Ekonomi.

Anak yatim piatu berasal dari Buntong, di sini, menjadi pelajar tunggal orang kurang upaya (OKU) tingkatan enam di sekolah berkenaan yang mencapai keputusan cemerlang mengekalkan kedudukan keempat pelajar terbaik, sekali gus menyaingi 15 pelajar daripada kelas ekonomi di sekolahnya.

Mahvithia berkata, dia bersyukur mendapat keputusan cemerlang walaupun berdepan dengan cabaran menjadi satu-satunya pelajar OKU bagi peperiksaan itu.

“Sebagai pelajar OKU yang ditempatkan belajar bersama pelajar normal yang lain ia adalah sangat mencabar dan ditambah pula kekurangan bahan untuk belajar.

“Namun, guru dan rakan yang lain banyak memberi sokongan dan saya menjadikan cabaran itu sebagai satu motivasi untuk belajar lebih kuat untuk berjaya,” katanya yang ditemui selepas mengambil keputusan peperiksaan semalam.

Disiarkan pada: March 1, 2017 @ 9:56am
d