mutakhir

'Gam' bunga tayar botak

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Putrajaya: Segelintir pengilang tayar celup dikesan hanya melekatkan bunga tayar baru di atas tayar lori yang sudah botak sebelum menjualnya pada harga serendah RM400.

Berdasarkan penghasilan tidak berkualiti, tayar itu mudah pecah menyebabkan serpihannya tertanggal di jalan raya seterusnya membahayakan pengguna.

Tayar baru untuk kegunaan kenderaan seperti lori dan bas dianggarkan berharga RM1,150 seunit dan tayar celup palsu pula dijual 50 peratus lebih murah.

Bagi membanteras kegiatan penghasilan tayar celup tidak sah itu, Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), melancarkan Ops Bersepadu Khas Tayar Celup pada 23 dan 28 Februari lalu.

Hasil serbuan di dua lokasi berasingan di kawasan perindustrian Bukit Beruntung, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan, pasukan itu merampas 480 tayar celup palsu dengan nilai RM240,000.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan kejayaan itu berkata, PTK JPJ melakukan perancangan dan risikan selama dua bulan sebelum mengesan beberapa lokasi menghasilkan tayar celup tidak sah.

Menurutnya, operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama Unit Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) serta Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Hasil serbuan di lokasi pertama, 265 tayar celup serta 1,282 pelekat SIRIM MS224-2005 palsu bernilai RM140,000 dirampas. Sembilan pekerja warga asing serta dua pemilik kilang turut ditahan.

“Pada serbuan kedua dijalankan kelmarin, 215 tayar celup bernilai RM107,500 dirampas,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Saripuddin Kassim, Pengurus Besar Kanan Jabatan Pensijilan Barangan SIRIM QAS International Basori Selamat serta Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron.

Kes disiasat mengikut Seksyen 29 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu melanggar Perintah Penandaan Tayar Pneumatik, sabit kesalahan pemilik kilang boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan menghasilkan tayar celup palsu ini memang serius kerana penggunaannya di jalan raya begitu berisiko selain membabitkan nyawa,” katanya.

Menurut Liow, pada operasi itu, seorang suspek ditahan berikutan cuba memberi suapan kepada penjawat awam.

“Suspek cuba menyogok RM50,000 sebagai dorongan tidak mengenakan tindakan penguatkuasaan ke atas premisnya.

“Kes ini akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17B Akta SPRM 2009,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2017 @ 5:05am
d