mutakhir

Parah tersepit dalam kereta

Lenggong: Seorang wanita parah dan dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori muatan balak di Kilometer 31.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong Mohd Anuar Mohd Saff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.25 pagi mengenai kejadian itu.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, anggota bertugas mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback, SUV Toyota Harrier dan lori jenis Mercedez membawa muatan balak.

“Pemeriksaan mendapati tujuh mangsa terbabit dalam kemalangan itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan dipercayai pemandu dan kelindan lori manakala seorang wanita berusia 43 tahun parah akibat tersepit di dalam kereta yang dipandunya,” katanya.

Mohd Anuar berkata, operasi itu dijalankan dengan kekuatan tujuh anggota dari BBP Lenggong dan menerima bantuan tujuh anggota dari BBP Kuala Kangsar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Jamalani Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu seorang daripada mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan.

Disiarkan pada: March 2, 2017 @ 5:07am
d