mutakhir

Pandangan sayu Fariz Zhafran

Oleh myMetro

Kubang Pasu: Mereka yang melangkah ke rumah keluarga ini di Kampung Bukit, Mukim Hosba, di sini, pasti tersentuh melihat kanak-kanak comel, Muhammad Fariz Zhafran Roslan, 8, yang hanya terlantar dengan matanya hanya memandang ke atas.

Menurut Nurbaizura Zakaria, 36, penderitaan anaknya sejak November 2015 akibat penyakit genetik Adrenoleukodystroppy menyebabkan dia tidak boleh melihat dan bercakap pernah disiarkan Harian Metro sebelum ini.

Katanya, Muhammad Fariz Zhafran, anak keempat daripada lima beradik membesar seperti kanak-kanak normal sebelum dikesan ada kelainan oleh guru kelasnya.

“Dia tidak dapat menulis dengan sempurna, walhal dia murid bijak dan bercita-cita menjadi doktor.

“Ketika di rumah, dia kerap terlanggar perabot dan memijak barang di atas lantai dan kami sangka dia rabun lalu menghantarnya ke Sekolah Pendidikan Khas Jabi di Pokok Sena.

“Kesihatannya semakin merosot dan hanya mampu bersekolah lima bulan dan kini terlantar di rumah,” katanya ketika menerima kunjungan Penghulu Mukim itu, Azhari Shafie, semalam.

Norbaizura berkata, doktor menyatakan penyakit itu menyebabkan asid lemak berlebihan mengganggu sistem otak dan saraf anaknya.

“Pakar turut memaklumkan hanya tiga kes dilaporkan di Malaysia termasuk anak saya,” katanya.

Kehidupan mereka hanya bergantung kepada suami, Roslan Adnan, 41, yang bekerja sebagai tukang kayu. Bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mencukupi, apatah lagi kos penjagaan Muhammad Fariz Zhafran tinggi kerana memerlukan susu khas dan lampin pakai buang.

“Suami berusaha menyiapkan ruang khas untuk anak dilengkapi tandas bagi keselesaan dan memerlukan bantuan kewangan bagi tujuan itu,” katanya.

Orang ramai yang sudi menyumbang boleh menghubungi Norbaizura di talian 013-4029609 (WhatsApps saja) dan terus ke akaun Maybank, Nurbaizura Zakaria 152023536365.

Disiarkan pada: March 2, 2017 @ 9:20am
d