mutakhir

Isteri rayu suami dibantu

Sabak Bernam: Keluarga seorang nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu merayu kerajaan berunding dengan pihak berkuasa republik berkenaan dalam usaha mengurangkan tempoh tahanan nelayan berkenaan.

Yeo Su Hung, 46, berkata, suaminya, Chua Kee Chan, 51, ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 17 Februari 2016 dan sehingga kini masih ditahan.

Yeo berkata, dia sekeluarga merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti mana yang dilakukan terhadap dua nelayan di Sekinchan yang dibebaskan pada Jun tahun lalu.

“Saya rayu pertimbangan kerajaan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Indonesia supaya suami saya dapat dibebaskan,” katanya.

Ibu empat anak itu berkata, sejak suaminya ditahan dan dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah Indonesia, mereka sekeluarga hidup dalam tekanan.

“Bot Zon B suami bernilai lebih RM500,000 sudah diletupkan pihak berkuasa Indonesia dan bayaran ansurannya masih perlu dilangsaikan. Saya tidak mampu untuk membayarnya dan terpaksa meminta bantuan daripada pihak lain bagi mendahulukan pembayaran ansuran bulanan,” katanya.

Yeo yang menetap di Taman Mawar 1, Sekinchan berkata, dia kini bekerja sebagai juruwang di restoran milik anak sulungnya, Chia Ming Chuan, 24, berhampiran Bagan Sekinchan bagi menambah pendapatan.

Disiarkan pada: March 3, 2017 @ 5:42am
d