mutakhir

Pakej menarik pelayaran mewah

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Kapal persiaran mewah milik Royal Caribbean International (RCI), Ovation of The Seas menawarkan tawaran menarik pada Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 hingga 19 Mac ini.

Pengarah Urusan RCI Asia Pasifik Sean Treacy berkata, tawaran itu dibuat sempena ulang tahun ke-10 kapal berkenaan beroperasi di Asia.

“Ovation of The Seas akan berlabuh di Singapura minggu depan sehingga pertengahan April untuk memulakan pelayaran pertama di Asia Tenggara pada musim depan dengan 10 pelayaran.

“Empat pakej disediakan iaitu pelayaran empat malam ke Pulau Pinang dan Phuket, Pulau Pinang (lima malam), Bangkok (lima malam) dan Ho Chi Minh City, Hue/Danang, Hong Kong, Seoul ke Tianjin (12 malam).

“Harga tiket pelayaran RCI, Ovation of The Sea ini ditawarkan bermula dari RM1,404,” katanya dalam sidang media RCI: Pameran MATTA 2017 di Wisma MATTA, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng.

Katanya, dua lagi kapal persiaran mewah dimiliki RCI iaitu Voyager of The Seas dan Mariner of The Seas.

“Rakyat Malaysia jangan melepaskan peluang mencuba RCI untuk mendapatkan pengalaman percutian berbeza di atas laut secara eksklusif.

“Banyak kemudahan disediakan untuk penumpang membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti sepanjang pelayaran,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh mengunjungi empat gerai RCI di dewan tiga PWTC untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RCI dan pakej pelayaran lain yang disediakan.

Sean berkata, hubungan kerjasama kali pertama sebagai rakan kongsi dengan Pameran MATTA 2017 diharapkan dapat membantu meningkatkan pertumbuhan 30 peratus industri kapal pelayaran mewah RCI di Asia.

Disiarkan pada: March 3, 2017 @ 5:43am
d