mutakhir

Lelaki dicari bantu siasatan kes bunuh

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang lelaki diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang pengurus bank di Sibu, Sarawak pada Jun 2012.

Lelaki terbabit dikenali sebagai Tiong King Guan, 31, menghilangkan diri pada hari dia sepatutnya hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes berkenaan pada 10 Febuari 2015.

Difahamkan, lelaki itu dan kekasihnya dikenali sebagai Ling ada kaitan dengan kes pembunuhan mangsa bersama seorang lelaki yang juga pembunuh upahan.

Bagaimanapun, pembunuh upahan dikenali sebagai Ing, mengaku bersalah atas dakwaan itu dan dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun mengikut Seksyen 4304 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Sibu.

Dalam kejadian 14 Jun 2012, mangsa, Wong Jing Kui yang bekerja sebagai pengurus sebuah bank di Sibu, Sarawak dibunuh dengan beberapa kesan tikaman sebelum mayatnya ditemui di bilik tidur.

Walaupun waran tangkap terhadap Tiong sudah dikeluarkan pihak berkuasa, sehingga kini dia tidak dapat dijejaki selepas menghilangkan diri sejak 10 Februari 2015.

Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai Tiong diminta menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Yeoh Chun Shyan di talian, 012-2626191 atau 084-322222/ 084-336268 (sambungan 244).

Disiarkan pada: March 3, 2017 @ 8:40am
d