mutakhir

Longlai dibelasah selepas rempuh kereta, motosikal

Petaling Jaya: Seorang pemandu kereta teruk dibelasah orang awam selepas dia merempuh empat kereta dan sebuah motosikal sehingga mengakibatkan dua lelaki parah di kilometer 18.5, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) berhampiran Kampung Datuk Harun, di sini.

Difahamkan kejadian berlaku jam 2 pagi, 14 Februari lalu, sebelum insiden itu tular di media sosial sejak kelmarin.

Video berdurasi 1.28 saat itu menunjukkan tiga lelaki didapati memukul dan menumbuk pemandu kereta terbabit sehingga longlai.

Difahamkan, pemandu berusia 24 tahun itu yang parah dibelasah mendakwa dia memandu dalam keadaan letih dan mengantuk kerana baru pulang dari bekerja.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa dengan tidak sengaja melanggar empat kenderaan yang
di parkir di kawasan perumahan berhampiran.

Menurutnya, sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki berusia 19 dan 18 tahun itu turut dilanggar kereta dipandu lelaki itu.

“Dua penunggang motosikal itu parah menyebabkan berlaku perselisihan faham antara orang awam dan pemandu terbabit.

“Pemandu kereta itu turut parah dibelasah dan semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Kamaludin berkata, sehingga kini ketiga-tiga mangsa masih dirawat di hospital berkenaan dan dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2017 @ 6:16am
d