mutakhir

Jangan 'lawan' beruang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendirian jika terserempak dengan beruang yang menceroboh kawasan kebun atau penempatan.

Pengarahnya, Ahmad Azhar Mohammed berkata, kejadian beruang menyerang manusia hingga menyebabkan kecederaan dan kematian boleh berlaku jika binatang berkenaan merasakan dirinya terancam selain terkejut.

Katanya, mereka yang terserempak beruang perlu segera menghubungi PERHILITAN bagi tujuan siasatan oleh pegawai bertanggungjawab, seterusnya operasi menangkap dilakukan menggunakan perangkap khas.

“Di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar, menjadi kesalahan kepada pihak yang bertindak mencederakan, menangkap dan memiliki beruang. Mereka yang memiliki binatang itu boleh dikenakan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Saya tidak berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan memiliki binatang dilindungi sepenuhnya seperti beruang, harimau, gajah dan seladang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ahmad Azhar berkata, tahun lalu PERHILITAN Pahang berjaya menangkap dua ekor beruang yang menceroboh kawasan Kampung Pagi, Jerantut dan Kampung Batu Putih Jalan Kuantan-Pekan.

Menurutnya, kes terbaru tangkapan binatang itu pada bulan lalu apabila seekor beruang matahari berusia empat tahun seberat 50 kilogram berjaya ditangkap ketika berkeliaran di kawasan Mini Zoo Taman Teruntum, di sini.

Disiarkan pada: March 4, 2017 @ 7:04am
d