mutakhir

Wanita maut rempuhan dua kenderaan

Oleh myMetro

Manjung: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dalam kejadian di Batu 11 Lekir, Sitiawan, di sini, jam 4.45 petang, kelmarin.

Mangsa, Siti Hanizah Hassan, 44, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) sejam selepas kejadian.

Bapa mangsa, Hassan Mad Ali, 83, berkata, ketika kejadian anak keempat dari tujuh beradik itu bersama suami, Hazri Basri, 42, dan dua anak mereka Nor Shahira Illiana, 17 dan Muhammad Shahir Iman, 11, menaiki Perodua Alza.

“Saya dapat tahu kejadian itu selepas solat Asar dan terus ke tempat kejadian namun anak, menantu dan cucu dibawa ke hospital. Saya tidak tahu mereka sekeluarga dari mana.

“Menantu saya pula patah kaki kiri dan cucu perempuan cedera di leher manakala cucu lelaki dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh jam 9 malam tadi (kelmarin) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSM, di sini, semalam.

Hassan berkata, keadaan menantu serta dua cucu stabil dan mereka dimaklumkan mengenai kematian Siti Hanizah kecuali anak bongsu mangsa belum diberitahu.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah dua hari sebelum kejadian apabila mereka sekeluarga datang ke rumah dan tiada perubahan yang ditunjukkan cuma dia ada mengatakan tidak sampai hati melihat keadaan rakan baiknya yang sakit.

“Jenazah arwah dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram, hari ini (semalam),” katanya.

Difahamkan, kemalangan membabitkan Perodua Alza yang dinaiki empat beranak, Porsche dipandu lelaki berusia 55 tahun dan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki.

Kenderaan yang dinaiki empat beranak itu dikatakan dari Sitiawan ke Lekir dan dipercayai berhenti dan belok ke kanan untuk ke Kampung Tebuk Bidan, Lekir sebelum dilanggar dari belakang oleh Porsche.

Akibat pelanggaran itu, Perodua Alza dipandu Hazri tidak dapat dikawal dan memasuki arah bertentangan sebelum dirempuh Toyota Hilux yang datang dari arah Teluk Intan.

Disiarkan pada: March 6, 2017 @ 7:58am
d