mutakhir

Angkat warisan budaya

Oleh BERNAMA

Arau: Penganjuran Pesta Angin Timur (PAT) 2017 dilihat berjaya mengangkat sektor pelancongan budaya di negeri Perlis serta mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai nilai seni warisan lampau.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata buktinya penganjuran PAT mendapat sambutan meriah saban tahun daripada segenap lapisan masyarakat dalam dan luar Perlis.

“Sejak penganjuran kali pertama sehingga kini, yang masuk tahun kelima, jumlah pengunjung terus meningkat dan penyertaan orang ramai dalam setiap acara yang dipertandingkan juga sangat menggalakkan.

“Suasana ini yang kita mahu. Masyarakat seronok ambil tahu dan berbangga dengan seni warisan dan budaya tradisional yang semakin dilupakan serta menghidupkannya agar tak lapuk ditelan zaman,” katanya yang yakin PAT 2017 mampu mencapai sasaran 100,000 pengunjung.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian PAT 2017 di Kampung Padang Telela, Pauh di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ab Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli.

Azlan berkata pelancongan budaya bukan semata-mata berkait dengan kesenian atau hiburan malah berupaya meningkatkan kesejahteraan budaya bangsa yang mampu memelihara warisan supaya terus subur.

Katanya, selain itu ia menyumbang kepada kerancakan sektor ekonomi negeri di mana bilangan pelancong domestik semakin bertambah selain memberi peluang perniagaan kepada penduduk melalui jualan produk tempatan.

Lebih 30 acara menarik dianjurkan sepanjang tiga hari penganjuran PAT 2017 yang bermula Jumaat lalu hingga semalam (3-5 Mac), antaranya pertandingan suara burung merbah jambul, kerbau besi, futsal bendang, kubota berhias, menangkap itik dan menggagau ikan.

Semua aktiviti berkenaan menterjemahkan suasana di kampung semasa musim angin timur apabila berlakunya perubahan angin monsun ke arah timur menjadikan cuaca berangin dan panas terik pada waktu siang dan sejuk pada waktu malam.

Lebih 74,000 pengunjung hadir pada tiga hari penganjuran PAT tahun lalu.

Pada dua hari pertama PAT 2017 lebih 60,000 pengunjung hadir.

Disiarkan pada: March 6, 2017 @ 8:12am
d