mutakhir

'Tak boleh bermalas-malas'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: “Bukan mudah hendak hidup di negera orang. Tidak boleh bermalas-malas dan perlu ada disiplin hidup yang tinggi selain sentiasa hormati masyarakat,” kata peniaga Aceh, Aklima Ismail, 43.

Dia yang mengusahakan kedai runcit di Pantai Dalam, di sini sejak lebih 10 tahun lalu berkata, tiada perkataan yang harus dijadikan alasan untuknya meneruskan kehidupan walaupun terpaksa menumpang di tanah rizab kerajaan untuk membuka kedai.

“Hasil simpanan duit selepas beberapa tahun berniaga dengan pendapatan kasar sehari RM3,000, saya beli kedai di tanah rizab kerajaan ini pada harga RM15,000.

“Bagi memastikan jualan kedai cukup untuk menampung kos operasi, saya terpaksa membuka kedai 24 jam sehari,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Ditanya apakah dia tidak kisah terpaksa bersaing dengan barangan yang dijual di kedai serbaneka ternama termasuk peniaga runcit Aceh yang lain, Aklima berkata, dia tidak kisah kerana rezeki adalah urusan Allah.

“Tidak guna kita hendak fikirkan perkara yang menjadi rahsia Tuhan, sebab saya percaya selagi kita rajin, disiplin dan jujur dalam usaha, rezeki akan datang dengan sendiri,” katanya.

Peniaga Aceh, Munawir Edian, 24, berkata, dia baru setahun bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Pantai Dalam dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Majikan juga sediakan tempat tinggal secara percuma, ini bermakna gaji hanya digunakan untuk kos makan minum serta sebahagiannya dihantar ke kampung halaman di Indonesia.

“Setiap hari saya bekerja selama 12 jam kerana kedai runcit beroperasi 24 sehari dan lebih suka makan di rumah kerana lebih jimat. Lagipun ada rakan yang masak mengikut giliran,” katanya.

Sementara itu, penduduk tempatan, Khairul Hisham Mazlan, 32, yang turut mengusahakan kedai alat tulis berkata, masyarakat Aceh sememangnya terkenal dengan sikap mereka yang rajin dan disiplin yang tinggi.

“Sebab itu mereka tidak kisah terpaksa bayar sewa kedai antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan kepada pemiliknya kerana tahu boleh dapat lebih daripada itu jika rajin bekerja.

“Sedihnya, orang kita ini mereka tidak berani mengambil risiko rugi untuk berniaga sebab itu memilih untuk ‘makan’ duit sewa yang sudah tentu jumlahnya setiap bulan,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2017 @ 8:55am
d