mutakhir

Pengsan lepas jatuh tangga

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tidak sedarkan diri selepas terjatuh di tangga flat di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, Naufa Nor Azwin Hisham, 2, dikejarkan ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Naufa kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di HUSM.

Datuk mangsa, Zakaria Othman, 69, berkata, ketika kejadian Naufa bersama abangnya, Sam’aan, 12, dalam perjalanan ke rumah pengasuh.

Katanya, kebiasaannya dua cucunya itu berpimpin tangan ketika keluar dari rumah sewa mereka di tingkat empat.

“Bagaimanapun hari ini (semalam) Sam’aan terpaksa mendukung adiknya itu kerana tidak memakai selipar.

“Sebaik tiba di tangga terbabit, cucu lelaki saya tersadung kakinya menyebabkan Naufa terjatuh lebih kurang 10 anak tangga ke bawah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Zakaria berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, ibu mangsa Nurhaslinda Zakaria, 37, berkata, keputusan imbasan yang dilakukan tidak ada sebarang pendarahan dalam kepala dan Naufa kini dalam keadaan stabil.

“Saya bersyukur doa kami dimakbulkan dan berharap anak saya cepat sembuh,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2017 @ 9:45am
d