mutakhir

Berjalan 2km kendong bayi

Oleh Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Demi meraih rezeki RM10, seorang ibu berusia 25 tahun nekad menggendong bayinya berusia tiga bulan dan berjalan sejauh dua kilometer bagi mencari barang kitar semula setiap hari di sekitar Pekan Gelang Patah, di sini.

Selley Lee yang juga wanita Orang Asli daripada suku Seletar berkata, dia hanya berserah kepada Allah bagi melindungi keselamatan dan kesihatan bayinya bersama dua anak lelaki yang dibawa bersama sepanjang tempoh dua hingga tiga jam mencari rezeki.

Menurutnya, pendapatan diperoleh setiap hari juga digunakan sepenuhnya bagi membeli makanan untuk mengisi perut anaknya dan susu bagi bayi lelaki berkenaan.

“Kedaifan hidup bukan suatu yang asing bagi saya yang berasal dari Kampung Simpang Arang di sini, namun keluarga kami kurang bernasib baik kerana suami sukar mendapat pekerjaan tetap dan kini hanya menjadi penjaja.

“Ia mungkin kerana statusnya sebagai warga asing iaitu berasal dari Kemboja, namun dia bukan pemalas, selain melakukan yang terbaik untuk kami. Walaupun susah, anak sulung saya berusia tujuh tahun bersekolah kerana kami sedar tanpa ilmu, anak kami akan ketinggalan jauh,” katanya.

Beliau berkata, setiap hari dia hanya mengalas perut dengan air suam sebelum keluar rumah untuk mencari barang kitar semula dan bagi mengelakkan anaknya tinggal berseorangan diri di rumah, semua anaknya juga dibawa bersama.

Katanya, pada hari persekolahan, dia biasanya menjalankan kegiatan itu pada waktu tengah hari selepas anak sulungnya pulang dari sekolah manakala pada cuti sekolah, dia keluar rumah pada waktu pagi.

“Saya hanya berserah kepada Allah. Asal tidak mencuri atau menipu...saya bersyukur kerana mampu mencari rezeki halal biarpun dengan mengutip tin untuk menyara anak,” katanya yang menambah, semua anaknya berstatus warganegara dan memiliki dokumen kelahiran.

Kelibat Selley yang menggendong bayi selain membawa bersama dua anak lelaki di sekitar pekan Gelang Patah berhampiran stesen minyak di sini, meraih simpati pelbagai pihak yang turut menyampaikan sumbangan berbentuk makanan.

Melihat kepayahan ibu kepada tiga cahaya mata itu menjalankan kegiatan mengutip barangan kitar semula untuk mencari sumber pendapatan, segelintir penduduk turut berkongsi gambarnya di laman media sosial dengan harapan nasibnya berubah.

Selley berkata, suaminya, Amni Ibrahim, 28, yang juga penjaja hanya memperoleh pendapatan kurang RM500 sebulan hasil menjual kuih-muih dan minuman.

“Kini sudah lebih sebulan saya bergerak mengumpul barang kitar semula dan hasil RM10 setiap hari cukup besar bagi saya terutama bagi menampung kos pembelian susu anak bongsu,” katanya.

Manurutnya, dia sedar berkaitan risiko keselamatan dan kesihatan dihadapi anak-anaknya kerana terdedah kepada udara tercemar selain berada di kawasan sibuk, namun kerana tiada pilihan dia terpaksa meneruskan kegiatan berkenaan.

“Sekiranya letih, kami berehat di pondok bas berhampiran. Ibu bapa mana mahu melihat anak susah tetapi saya pasti dengan usaha saya serta suami, nasib kami akan berubah kelak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru berkata, pihaknya akan menjalankan tinjauan dan siasatan berkaitan kes berkenaan.

Disiarkan pada: March 8, 2017 @ 5:08am
d