mutakhir

RRMP perkenal aplikasi digital Ais Kacang

Kuala Lumpur: Rangkaian Radio Media Prima (RRMP), memperkenalkan aplikasi digital Ais Kacang yang mengumpulkan 30 podcast berbeza dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif RRMP Seelan Paul berkata, Ais Kacang menghidangkan pengisian yang mengupas pelbagai topik menarik dan berbeza daripada radio tradisional.

“Podcast adalah platform popular di luar negara tetapi ia masih baru di Malaysia. Justeru, kami menyasarkan untuk menjadi podcast terbaik dan terbesar di negara ini,” katanya di majlis Pelancaran Tiga Inisiatif Terbaru RRMP, semalam.

Seelan berkata, RRMP mempunyai lebih tujuh juta pengikut unik dan pihaknya berharap Ais Kacang dapat menarik lebih ramai pendengar, sekali gus melonjakkan lagi jumlah berkenaan.

“Buat masa sekarang, belum ada lagi stesen radio lain mengeluarkan aplikasi seperti ini dan orang ramai boleh mendengar podcast ini secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih mencari bakat untuk mengendalikan podcast dan mengalu-alukan individu untuk menyumbang pengisian mereka.

“Paling penting sekarang adalah mengukuhkan jenama Ais Kacang bagi menarik ramai pendengar,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2017 @ 5:22am
d