mutakhir

80 murid sertai Smart Solat

Sabak Bernam: Seramai 80 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai program ‘Smart Solat’ di Masjid Assyukriah Parit 8 Gambut, Sungai Panjang, Ahad lalu.

Program dua hari bertemakan ‘Solat Membina Keperibadian Muslim’ itu anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Latihan Raudhatul Jannah (RJTC).

Nazir masjid itu Miswan Jumat berkata, program berkenaan memberi pendedahan awal ilmu fardu ain terutama ibadah solat kepada peserta cilik yang turut dapat memanfaatkan cuti hujung minggu mereka dengan aktiviti berfaedah.

“Antara pengisian program itu termasuk sesi taaruf, teori asas solat dan latihan dalam kumpulan bagi sesi praktikal asas solat yang dibimbing fasilitator terlatih serta mahasiswa USIM.

“Selain itu, teori dan praktikal cara mengambil wuduk dan tayamum diajar kepada peserta cilik itu,” katanya.

Menurutnya, selain menjadi tuan rumah program itu, pihaknya turut membiayai yuran penyertaan RM20 seorang sebagai sokongan kepada kehadiran peserta dan penganjuran majlis ilmu berkenaan.

Kata Miswan, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program seumpama itu pada masa depan.

Disiarkan pada: March 9, 2017 @ 6:24am
d