mutakhir

Melayang 40 meter

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Sesi pembelajaran di Sekolah Rendah Agama (SAR) Seksyen 3, di sini, terganggu apabila hujan dan ribut menyebabkan bumbung kantin sekolah itu diterbangkan ribut sejauh 40 meter, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, rata-rata murid baru selesai menjamu selera di kantin berkenaan ketika sesi rehat sebelum dikejutkan dengan pusaran angin kuat melintasi kawasan berkenaan.

Guru sekolah itu Kholila Roslan, 27, berkata, dia dan guru lain hanya bimbangkan keselamatan lebih 1,000 murid kerana insiden berkenaan berlaku sangat pantas.

“Ketika itu, semua guru dan murid sesi petang sedang berada di dalam kelas masing-masing sebelum hujan turun disertai ribut.

“Tidak lama kemudian, saya dengar bunyi kuat seperti objek jatuh dan terkejut mendapati ia rupa-rupanya atap kantin yang tercampak di depan kelas saya diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, melihat keadaan itu, dia segera menutup pintu bagi memastikan keselamatan 30 murid di kelasnya.

“Saya bersyukur kerana waktu rehat murid sekolah pada jam 4.30 petang dan kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan kepada sesiapa,” katanya.

Sementara itu, Guru Besarnya Filzah Mohd Noor berkata, kantin kecil berkenaan dibina berikutan kantin utama terletak agak jauh dari kelas.

“Ramai murid mengeluh berikutan jarak kantin jauh dan memakan masa untuk pergi ke situ berikutan waktu rehat yang pendek.

“Kami memang bercadang membina kantin kedua yang lebih besar, namun belum mempunyai dana mencukupi,” katanya.

Menurutnya dia terpaksa memindahkan kantin itu di garaj kereta guru bagi memberi kemudahan kepada keseluruhan 2,513 murid sebelum membuat kutipan dana pada Mei depan.

“Pada waktu ini, kami mencari sumbangan ikhlas bagi menyewa khemah sebagai kantin sementara,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya kepada Wakaf Pembangunan dan Prasarana SAR Seksyen 3 di akaun Bank Islam bernombor 1203-8010-123400.

Disiarkan pada: March 9, 2017 @ 6:25am
d