mutakhir

Datuk didakwa palsukan surat wasiat

Georgetown: Kerana memalsukan surat wasiat 27 tahun lalu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, N Vasantharajan, 52, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mengikut pertuduhan, Vasantharajan yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia, Pulau Pinang didakwa dengan curang menggunakan satu dokumen asli iaitu surat wasiat N Arumugam Pillai dan memalsukannya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 26 Jun 1990.

Tertuduh yang kini menjalankan perniagaan dalam sektor pelancongan dan perdagangan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Irwan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April depan bagi sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 9, 2017 @ 6:35am
d