mutakhir

Bukan tolak Wawasan 2020

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan baru-baru ini bukan bermaksud kerajaan menolak Wawasan 2020 sebaliknya ia adalah kesinambungan bagi memastikan negara terus berjaya dan disegani.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, TN50 adalah sebuah konsep falsafah serta visi yang lebih luas yang mencakupi segenap segmen dan dimensi dalam kehidupan.

“Ada orang cakap kita tolak Wawasan 2020 sedangkan hakikatnya kita tidak tolak.

“Ini adalah kesinambungan dan kita menggunakan pendekatan seperti wacana serta dialog nasional bagi memastikan rakyat terbabit sama.

“Kerajaan percaya, dengan usaha itu rakyat akan menerima TN50 kerana ia adalah cermin inspirasi mereka,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad (BN- Mersing) di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) berhubung kekangan yang dihadapi kerajaan dalam melaksanakan agenda berkenaan, Najib berkata, matlamat akan mudah dicapai jika isu berkaitan politik dikurangkan.

“Kalau kita kurangkan ‘politiking’, lebih mudah untuk mencapai matlamat.

“Diakui ada kelemahan tetapi kita tidak gagal dan perlu menetapkan sasaran,” katanya.

Menurut Najib lagi, faktor luar seperti kemelesetan ekonomi, harga minyak dan komoditi turut memberi kesan kepada sasaran negara.

Kata beliau, semua itu adalah di luar kawalan kerana ada ketika kita andaikan persekitaran kondusif tetapi jika sebaliknya, ia akan memberi kesan kepada pencapaian negara.

Disiarkan pada: March 9, 2017 @ 6:38am
d