mutakhir

Pemohon boleh kemuka rayuan

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Pemohon yang gagal dalam permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disebabkan data pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) boleh membuat rayuan dengan mengemukakan penyata pendapatan atau akaun bank kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh rayuan sehingga 31 Mei depan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam berkata, langkah itu bagi mengesahkan maklumat pendapatan pemohon.

Menurutnya, makluman berkenaan dibuat susulan dakwaan netizen menerusi media sosial Facebook (FB) yang mendakwa permohonan BR1M gagal kerana berdaftar perniagaan dengan SSM.

Selain itu, katanya, mereka yang gagal permohonan BR1M 2017 akan menerima surat dan e-mel pemakluman, sekali gus menjelaskan sebab kegagalan dan kaedah rayuan.

“Permohonan rayuan boleh dibuat secara percuma di mana-mana cawangan LHDN termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) terdekat sehingga 31 Mei ini dengan mengisi borang rayuan.

“Ini termasuk mengemukakan borang berkenaan bersama dokumen sokongan berkaitan seperti penyata gaji, penyata pendapatan, penyata akaun bank (syarikat atau persendirian) dan salinan kad pengenalan pasangan atau tanggungan terkini seperti dinyatakan di dalam surat atau emel,” katanya.

Mengulas lanjut, penerima sedia ada yang ingin mengemas kini maklumat terkini seperti waris dan alamat surat menyurat juga boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana cawangan LHDN, PKH dan UTC terdekat dalam tempoh rayuan.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol Kementerian Kewangan 1800-88-2716 serta e-mel kepada br1m@treasury.gov.my,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2017 @ 6:46am
d