mutakhir

'Tak sabar dengar dia panggil emak'

Jempol: “Saya tidak sabar mendengar dia memanggil emak,” kata Sabariah Sulaiman, 55, ibu kepada Muhamad Haziq Azri Said, 20, yang kini terlantar akibat kemalangan jalan raya, Januari lalu.

Sabariah yang menetap di FELDA Lui Barat berkata, akibat kejadian itu, anaknya tidak boleh bercakap dan hanya mampu menggerakkan sedikit anggota tangan dan kaki kiri.

Katanya, anaknya menerima rawatan selama 33 hari di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selepas terjatuh ketika menunggang motosikal berhampiran rumah.

“Dia adalah pelajar Kolej Vokasional Juasseh dan pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta di Batu Kikir Februari tahun lalu.

“Ketika itu, dia menerima rawatan 45 hari termasuk 18 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN.

“Kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai waktu belajar dan kemalangan mengakibatkan dia terpaksa menangguhkan pengajian selama setahun.

“Sebaik pulih, dia sekali lagi ditimpa kemalangan menyebabkannya terus terlantar,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui dan UMNO Bahagian Jelebu, di rumahnya, semalam.

Hadir sama, ADUN Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali.

Disiarkan pada: March 10, 2017 @ 6:50am
d