mutakhir

Sedih firasat tepat

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: “Saya cuba tenangkan diri dan buka bungkusan surat khabar itu berhati-hati sebelum mendapati ia mayat bayi perempuan yang sempurna sifatnya,” kata Yahya Ibak, Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau As Siddiq Presint 9, di sini.

Mayat bayi itu diletakkan di dalam beg di atas rak kasut surau berkenaan jam 8.30 malam kelmarin.

Yahya berkata, seorang penduduk datang ke rumahnya berhampiran surau berkenaan bagi memaklumkan penemuan beg mencurigakan di luar pintu surau.

“Hati saya terdetik beg berkenaan mungkin mengandungi bayi. Saya buka untuk kepastian, ternyata firasat itu betul apabila ada bayi berbungkus surat khabar dan tuala di dalamnya,” katanya, di sini, malam kelmarin.

Harian Metro kelmarin melaporkan mayat bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui seorang lelaki di dalam beg di atas rak kasut di Surau As Siddiq, Presint 9 dalam keadaan masih bertali pusat.

Ia dibalut tuala dan jersi biru yang diletakkan dalam beg kitar semula juga berwarna biru.

Turut disertakan nota bertulisan tangan, “Assalamualaikum, kepada orang surau. Tolong mandi dan kafankan bayi ini. Saya tak ada sesiapa nak minta tolong. Harap pertolongan ini dapat dibantu. Terima kasih. Pertolongan dapat dihargai. Hanya Allah sahaja dapat balas jasa orang surau.”

Yahya yang juga kakitangan awam di Kementerian Kewangan berkata, walaupun mengagak kandungan beg berkenaan, dia tetap terkejut dan sedih.

Sementara itu, rakaman CCTV mendapati ada kelibat lelaki di kawasan surau berkenaan jam 7.45 malam.

Dia dilihat pergi ke arah luar pintu, kelihatan tertunduk-tunduk seperti mengemaskan beg sebelum meninggalkannya di situ.

Disiarkan pada: March 10, 2017 @ 6:53am
d