mutakhir

Perling, Shan Taung tagih sumbangan [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Sittwe: Bukan saja di kem penempatan di Sittwe dan Maungdaw, perkampungan Perling dan Shan Taung di Mrauk-U juga begitu daif dan memerlukan sumbangan masyarakat antarabangsa.

Atas kesedaran itu, PAS dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Rahmat Care menyalurkan bantuan kepada 100 keluarga masyarakat Muslim yang ketinggalan dari aspek pembangunan serta kemudahan asas.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya membawa amanah untuk memberi bantuan di wilayah bergolak di Rakhine dengan bantuan NGO berpengalaman seperti MAPIM dan mendapati keadaan di sana begitu terhimpit.

Katanya, kira-kira 4,000 keluarga mendiami Kampung Perling yang dikelilingi perkampungan Buddha manakala 750 keluarga Muslim mendiami Kampung Shan Taung.

“Walaupun kekal di kampung sendiri, kehidupan mereka seperti Muslim di tempat lain, terkurung dalam penjara terbuka, terhapus semua hak sebagai warganegara dan semakin dihimpit dalam kepayahan.

“Kanak-kanak membesar dalam serba kekurangan dan halangan dengan proses pendidikan paling minimum, atas inisiatif komuniti mereka sahaja yang ada untuk membentuk diri mereka menjadi dewasa seperti orang lain,” katanya yang terbabit dalam misi bantuan di sekitar Sittwe dan Mrauk-U sejak dua hari lalu.

Sementara itu, Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada misi membantu masyarakat Muslim yang kini berdepan pelbagai tekanan.

“Keadaan di sini hampir sama dengan kem penempatan dan kampung pelarian. Kita akan lihat apa bentuk keperluan mereka dan gerakkan bantuan bersama rakan-rakan NGO Malaysia selepas ini,” katanya.

Menurutnya, MAPIM juga mempunyai dua sekolah dan bangunan serta telaga air untuk 40 keluarga yang diuruskan pembinaannya dengan bantuan Kumpulan Sukarelawan Cina Muslim Bagi Membantu Masyarakat Rohingya di sini untuk memastikan masyarakat Muslim dapat menikmati hidup dengan lebih baik.

“Justeru, kita mengharapkan bantuan antarabangsa untuk sama-sama membangunkan ummah. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 (Maybank),” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2017 @ 7:16am
d