mutakhir

Sedekah 2,000 kampit beras

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Sebanyak 1,500 kampit beras seberat lima kilogram (kg) yang diagihkan secara percuma di pekarangan rumah pesara guru yang juga pengusaha katering, Abdul Ghani Haron, 60, di Kampung Masjid, Tikam Batu habis diedarkan dalam masa 30 minit.

Malah, orang ramai mula memenuhi pekarangan rumahnya seawal 6.30 pagi semalam bagi mendapatkan beras percuma disumbangkan Cikgu Ghani dan rakan Facebook (FB).

Menurut Cikgu Ghani, sumbangan beras itu sebahagian daripada program sedekah jariah dilakukan bersama rakan FB bertujuan meringankan beban masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan.

“Dalam keadaan ekonomi yang kurang baik ditambah kenaikan harga barangan pasti memberi kesan kepada orang ramai terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya berharap pemberian beras percuma sedikit sebanyak meringankan beban golongan sasar kerana mereka paling banyak terjejas ekoran kenaikan harga barang keperluan harian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, 2,000 kampit beras bernilai RM22,400 diagihkan kepada orang ramai, 1,500 kampit diagih di rumahnya manakala 500 lagi di Masjid Kampung Permatang Tengah Kota Kuala Muda.

“Rabu minggu depan saya akan mengagihkan 700 kampit beras sekitar Masjid Kampung Padang Setol dan Pokok Machang, Bukit Selambau.

“Bukan beras sahaja, saya dan rakan FB turut menyalurkan pelbagai barangan keperluan harian lain seperti minyak masak, ayam, lampin pakai buang, susu bayi dan minyak petrol,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2017 @ 6:47am
d