mutakhir

Tak sempat jenguk ibu

Oleh Zul Ikhwan Muhammad

Mersing: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di selekoh di Kilometer 28, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, semalam ketika dalam perjalanan melawat ibunya di Hospital Rompin, Pahang.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi, Mohamad Adam Ramlee, 29, dalam perjalanan ke Endau menjenguk ibunya yang dimasukkan ke Hospital Rompin selepas menghantar isterinya pulang di Johor Bahru.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa melawat ibunya yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan sebelum bergegas pulang ke rumahnya di Johor Bahru untuk menghantar isterinya yang sarat mengandung.

Selesai menghantar isterinya ke Johor Bahru, Adam pulang semula ke Endau dan menjenguk ibunya yang sakit sebelum terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

Ketua Polis Daerah Mersing, Cyril Edward Nuing berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum bertembung treler.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas di Singapura meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Pemandu treler berusia 51 tahun itu tidak cedera dan membuat laporan kejadian itu. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengkebumian di Endau,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 14, 2017 @ 5:04am
d