mutakhir

Pegawai imigresen seludup ahli Daish

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kemampuan militan Daish dari negara jiran menyusup masuk ke Malaysia terjawab apabila seorang Pegawai Pemeriksa Dokumen Jabatan Imigresen Malaysia diberkas polis selepas disyaki terbabit dengan aktiviti militan.

Suspek wanita berusia 31 tahun itu dan berkhidmat di Lapangan Terbang Sandakan, Sabah, disyaki menggunakan jawatannya untuk membantu kemasukan individu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah termasuk anggota Daish dari Indonesia dan Filipina.

Dia adalah antara tujuh individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit kegiatan Daish di negara ini antara 8 Mac hingga kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua individu itu ditahan di Sabah dan Selangor dalam operasi khas dilakukan.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya berjaya menangkap dua anggota Daish warga Filipina dengan salah seorangnya memiliki status pemastautin tetap Malaysia dalam operasi di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Mac lalu.

“Suspek pertama berusia 27 tahun disyaki terbabit dalam kegiatan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Dr Mahmud Ahmad dan Mohamad Joraimee Awang Raimee, iaitu warga Malaysia yang menyertai Daish di selatan Filipina sejak 2014.

“Manakala seorang lagi suspek berusia 18 tahun adalah anggota Daish yang berbai’ah dengan Isnilon Hapilon iaitu salah seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di Basilan,” katanya semalam.

Khalid berkata, dalam operasi di Sandakan, Sabah, pada 9 Mac pula, polis menahan dua warga Filipina yang bertaraf pemastautin tetap termasuk seorang wanita.

“Suspek masing-masing berusia 53 tahun (wanita) dan 40 tahun. Suspek wanita bekerja sebagai penjual tiket feri dan suspek lelaki pula seorang buruh.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek menguruskan penyusupan masuk tiga anggota Daish dari Indonesia ke Selatan Filipina melalui Sabah,” katanya.

Menurut Khalid, satu lagi tangkapan di Sandakan, Sabah, membabitkan seorang mekanik kereta warga Filipina.

“Siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun itu didapati merancang berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Daish.

“Sementara itu, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 36 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, sebaik tiba dengan penerbangan dari Turki. Dia ditahan pihak berkuasa negara itu kerana cuba menyusup ke Syria untuk menyertai kumpulan Daish di sana.

“Suspek yang juga bekas pembantu perubatan di Hospital Jerantut, Pahang berlepas ke Istanbul (Turki) pada Oktober tahun lalu dalam perancangan menyusup ke Syria dengan bantuan seorang anggota Daish berasal dari Sulawesi, Abu Fateh.

“Bagaimanapun, dia ditahan pihak berkuasa Turki bersama-sama beberapa anggota Daish berasal dari Indonesia pada 16 Januari lalu dan dia dihantar pulang ke negara ini semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, semua tujuh suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA-kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Disiarkan pada: March 14, 2017 @ 5:15am
d