mutakhir

Zawiah bidan kampung popular

Rantau Panjang: Usianya sudah menjengah separuh abad, namun seorang warga emas masih aktif mengurut secara tradisional dan khidmatnya ditagih orang ramai.

Zawiah Che Dollah, 62, dikenali kerana urutan melegakan dan kemahirannya sebagai bidan kampung turut menjadikan dia popular sejak 44 tahun lalu.

Pelanggannya pula bukan saja di Kelantan bahkan Johor, Perak, Kedah dan Selangor.

Ibu kepada tujuh anak dan 24 cucu itu berkata, kemahiran mengurut diasah sejak berusia 18 tahun bermula dengan mengurut ahli keluarga yang sakit urat atau sendi.

“Setiap kali saya mengurut, mereka memuji cara urutan saya dan lega selepas diurut, sedangkan saya tidak belajar dengan mana-mana guru untuk ilmu mengurut.

“Alhamdulillah, dengan kemahiran mengurut, saya menjadikannya sebagai pekerjaan tetap hingga kini dan dengan cara itu juga saya dapat membesarkan anak-anak.

“Walaupun zaman ini dibanjiri dengan pelbagai produk dan rawatan moden untuk berpantang, masih ramai golongan ibu mencari saya mendapatkan khidmat berpantang secara tradisional.

“Boleh dikatakan setiap hari saya menerima pengunjung terutama hari minggu. Jika cuti umum, pelanggan boleh mencecah 30 orang sehari,” katanya yang melakukan perkhidmatan itu di rumahnya di Kampung Kelawar, di sini.

Selain mengurut, Zawiah turut menghasilkan ubat sakit urat, buasir dan resdung menggunakan akar kayu dengan dibantu suaminya, Abu Talib Abu Jalal, 66.

“Pelanggan yang inginkan khidmat urutan akan datang terus ke rumah saya. Jika dulu sewaktu muda, saya mengurut dari rumah ke rumah, tetapi kini hanya melakukannya di rumah saja,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2017 @ 5:21am
d