mutakhir

Tujuh kawasan terjejas teruk

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berhempas pulas lebih 45 minit bagi mengalihkan sebatang pokok yang tumbang dan menghempap sebuah kereta di Jalan Chin Chin, di sini.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, hujan lebat selama sejam itu turut mengakibatkan tujuh kawasan terjejas teruk akibat kejadian pokok tumbang.

Pegawai Pasukan APMKuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, antara kawasan yang turut terjejas adalah di Jalan Beremi, Jalan Pantai Dalam, Jalan Istana, Jalan Pantai Murni, jalan berhampiran Berjaya Times Square dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMKP) Bandaraya, di sini.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang dan sepasukan anggota APM dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di sana, terdapat sebatang pokok menghempap sebuah kereta model Proton Wira berhampiran kawasan parkir di Jalan Chin Chin,” katanya.

Menurutnya, anggota APM segera melakukan kerja memotong pokok yang tumbang di lokasi kejadian menggunakan gergaji elektrik.

Shahrul Kamar berkata, pemilik kenderaan itu tidak menyedari kejadian yang berlaku dan anggota APM turut berusaha mencari pemilik kereta itu di kawasan berhampiran.

Dia berkata, pihaknya menyerahkan tugas kepada kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk kerja pembersihan di kawasan itu.

Disiarkan pada: March 14, 2017 @ 8:32am
d