mutakhir

50 dihantar pulang

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menghantar pulang 50 pekerja Korea Utara di Sarawak yang tamat tempoh permit kerja masing-masing ke Pyongyang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pekerja terbabit kini ditahan di depoh tahanan sementara di Sarawak dan akan dihantar pulang selepas pendakwaan serta proses dokumentasi selesai dilakukan.

“Oleh sebab Akta Imigresen di Sarawak berbeza dengan Akta Imigresen sedia ada, saya telah adakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Abang Johari Openg) dan keputusan ini akan saya sampaikan secara rasmi kepada beliau hari ini,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini, semalam.

Menurutnya, ada 315 warga Korea Utara di Malaysia ketika ini dan mereka yang mempunyai visa serta permit kerja sah dibenarkan berada di sini.

Katanya, semua 191 rakyat Korea Utara yang terbabit dalam program Malaysia My Second Home (MM2H) juga terus dibenarkan tinggal di negara ini.

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini Kim Jong-nam yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 bulan lalu, Ahmad Zahid berkata, jasad abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un yang kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) diawet bagi mengelak reput.

“Usaha pengawetan dilakukan kerana jika mayat itu disimpan di bilik mayat biasa, maka ia dikhuatiri berlaku pereputan dan dalam keadaan itu, maka tindakan untuk mengawet mayat itu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, proses pengawetan dilakukan di lokasi lain, namun mayat itu dibawa kembali dan ditempatkan di HKL.

Disiarkan pada: March 15, 2017 @ 5:52am
d