mutakhir

Penguat kuasa tonto pusat urut haram [METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Setiap anggota agensi penguat kuasa yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah kelmarin dipercayai mempunyai peranan tertentu untuk melindungi pusat urut haram termasuk menjadi tonto.

Sumber SPRM berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dilakukan sejak setahun lalu dengan memfokuskan kepada pusat urut baru di sekitar Selangor.

“Pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam kes itu dipercayai bertindak sebagai tonto untuk memaklumkan kepada pengusaha premis mengenai sebarang serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu, anggota bomba pula membabitkan lesen keselamatan kebakaran manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi memudahkan permohonan atau pembaharuan lesen pusat urut itu,” katanya.

Semalam 13 penguat kuasa daripada pelbagai agensi direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengutip wang rasuah bagi melindungi kegiatan pusat urut di negeri itu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin selepas semua suspek berusia 26 hingga 53 tahun tiba di mahkamah dengan menaiki bas milik SPRM pada jam 10.05 pagi.

Mereka membabitkan dua pegawai polis berpangkat Inspektor yang juga Ketua Balai Polis di Kajang dan Sungai Buloh selain enam anggota polis, empat anggota bomba dan seorang pegawai MPKj.

Sumber itu berkata, SPRM kini mengesan seorang lagi suspek berusia 30-an dipercayai kerani MPKJ bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan mendapati lelaki itu dipercayai mempunyai masalah disiplin berkaitan kehadirannya dan dia kini hilang tanpa dikesan,” katanya.

Menurutnya, lapan suspek polis yang direman dihantar ke lokap SPRM di Putrajaya manakala selebihnya di Lokap Berpusat Shah Alam.

Semua supek ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menerima rasuah bulanan antara RM300 hingga RM10,000 daripada pengusaha pusat urut yang beroperasi secara haram di dua daerah di Selangor.

Disiarkan pada: March 15, 2017 @ 5:58am
d