mutakhir

Menghitung kos RM70,000

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: “Saya mengharapkan Muhammad Qaliff Anaqi kembali cergas seperti kanak-kanak lain selepas disahkan mengalami masalah jantung,” kata bapa seorang kanak-kanak lelaki yang memerlukan bantuan kewangan segera untuk menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini.

Abdul Aziz Ismail, 30, seorang pekerja kilang di Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) memerlukan bantuan kewangan sumbangan orang ramai berjumlah RM70,000 untuk pembedahan anak sulung yang kini berusia satu tahun selepas jantungnya gagal berfungsi dengan baik.

Menurutnya, Muhammad Qaliff Anaqi dilahirkan tidak cukup bulan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan ketika dilahirkan berat badannya hanya satu kilogram selain menghadapi masalah saluran jantung mengalami tekanan rendah.

“Masalah komplikasi pada jantung semakin serius apabila saiz badan Muhammad Qaliff Anaqi tidak membesar seperti kanak-kanak lain dan keadaan badannya semakin lemah dan terpaksa dibawa ke GMC untuk pemeriksaan.

“Saya membawanya ke GMC untuk pemeriksaan lanjut dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji menyebabkan ia menjejaskan sumber pendapatan yang hanya diperoleh sekitar RM1,230 sebulan, manakala isteri, Nurul Izyan Shafina Shafie, 29, tidak bekerja,” katanya.

Abdul Aziz berkata, dia mengalami kesukaran untuk menyediakan kos pembedahan tinggi. Sebagai ibu bapa, mereka amat menginginkan agar Muhammad Qaliff Anaqi dapat dirawat dan kembali pulih serta cergas seperti kanak-kanak lain.

“Saya berharap segala masalah dihadapi dapat diselesaikan dan kami sekeluarga ingin melihat perubahan positif dan ada pihak sudi menghulurkan bantuan kewangan kepada Muhammad Qaliff Anaqi untuk menjalani pembedahan segera,” katanya.

Orang ramai boleh menderma dengan menghantar cek atau wang pos kepada Tabung Kemanusian Media Prima Berhad-NSTP, Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Level 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak terbabit di belakang cek.

Disiarkan pada: March 15, 2017 @ 5:59am
d