mutakhir

Gantung atau tidak?

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Hari ini menjadi penentu kepada nasib bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga lagi sama ada kekal dihukum gantung sampai mati atau sebaliknya atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada 2010.

Ini berikutan pada pagi ini, Mahkamah Persekutuan akan membacakan keputusan terhadap rayuan Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan, 35, yang sebelum ini didapati bersalah atas pembunuhan kejam itu.

Keputusan akan dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Pihak pendakwaan akan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Peguam Manjeet Singh Dhillon mewakili Pathmanabhan, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Thilaiyalagan diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Gurbachan Singh manakala Kathavarayan diwakili T Vijayandran.

Ini adalah peluang terakhir keempat-empat tertuduh selepas Mahkamah Rayuan pada 4 Disember 2015 menolak rayuan mereka dan mengekalkan hukuman dan sabitan salah membunuh keempat-empat mangsa.

Mahkamah Rayuan sebelum ini dalam keputusan sebulat suara mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap keempat-empat tertuduh selepas memutuskan sabitan dan hukuman itu adalah betul.

Dalam keputusan yang dibacakan selama satu jam oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap keempat-empat perayu itu.

“Kami berpendapat, kesimpulan yang boleh diambil daripada semua fakta dan keadaan kes ini jelas bahawa Sosilawati sudah meninggal dunia dan keempat-empat perayu adalah pelaku yang membawa kepada kematiannya termasuk tiga lagi iaitu Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin.

“Melihat semua bukti
yang terkumpul, kami
dapati sabitan kesalahan terhadap keempat-empat perayu adalah selamat. Malah, keterangan Kathavarayan (perayu empat) menguatkan kes pendakwaan. Oleh itu, kami menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap mereka,” katanya.

Pada 25 Mei 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Akthar Tahir menjatuhi hukuman mati terhadap keempat-empat tertuduh.

Mereka didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47, dan tiga yang lain iaitu pegawai bank Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin, 44.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Perbicaraan berlangsung selama 110 hari dengan memanggil 108 saksi pendakwaan dan 30 saksi pembelaan untuk memberi keterangan.

Sebanyak 742 barangan kes termasuk lebih 6,000 dokumen dikemukakan
di mahkamah sepanjang prosiding berlangsung bermula 4 Julai 2011.

Disiarkan pada: March 16, 2017 @ 5:40am
d