mutakhir

Iktiraf jasa APMM jaga keselamatan perairan negara

Pelabuhan Klang: Pelancaran Kapal Ronda Generasi Baru (NGPC) KD Bagan Datuk semalam adalah pengiktirafan kepada Agensi Penguatkuasaan APMM (Maritim Malaysia) yang wujud sejak 11 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, peranan yang dimainkan APMM bersama agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan dalam menjaga keselamatan perairan negara sangat penting sehingga Selat Melaka kini berada dalam keadaan aman dan terkawal.

Beliau berkata, kerajaan memahami ancaman yang dihadapi di perairan negara termasuk jenayah penyeludupan dadah, tangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing, kemasukan pendatang asing tanpa izin serta pencemaran persekitaran maritim.

“Selain itu, ada juga ancaman baru seperti jenayah rentas sempadan, keganasan maritim, pengambilan semula kapal karam secara haram serta mengeksploitasi sumber lain secara haram.

“Dengan keluasan laut 614,158.54 kilometer persegi iaitu dua kali ganda luas daratan serta kedudukan geografi negara terletak di persimpangan lautan strategik perkapalan antarabangsa menjadikan perairan negara penting bagi keselamatan, keutuhan dan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penamaan dan Pelancaran Kapal Ronda Generasi Baru Pertama APMM di Limbungan Destini, di sini, semalam.

Pada majlis itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor melancarkan kapal ronda berkenaan.

Disiarkan pada: March 16, 2017 @ 5:42am
d