mutakhir

Jurujual miliki 66 saman tertunggak ditangkap

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 33 tahun yang mempunyai 11 waran tangkap ditahan di tempat kerjanya di Sungai Buloh, Selangor pada Operasi Waran Tangkap (Op Warta) dijalankan Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, kelmarin.

Lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan jam 10.30 pagi oleh anggota trafik JSPT Kuala Lumpur selepas rekod mendapati dia mempunyai 66 saman tertunggak atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, lelaki terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret
Jalan Duta di sini, untuk dibicarakan atas kesalahan berkenaan.

“Dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas membayar denda lebih RM11,000,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya menjalankan operasi secara berkala bagi menahan individu yang culas membayar saman trafik tertunggak hingga menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.

“Sasaran kami adalah individu yang mempunyai waran tangkap tanpa mengira jumlah waran dimiliki. Namun, keutamaan operasi ini diberikan terhadap mereka yang mempunyai waran tangkap yang banyak.

“Melalui maklumat diperoleh, kami akan mengesan lokasi kediaman atau tempat kerja mereka sebelum dibawa ke balai seterusnya ke mahkamah bagi tindakan lanjut,” katanya.

Dalam operasi yang sama, pihaknya turut mengadakan sekatan jalan raya bagi mengesan individu yang mempunyai waran tangkap dan saman tertunggak di Jalan Shamelin bermula
jam 8 pagi hingga 9 pagi, kelmarin.

Disiarkan pada: March 16, 2017 @ 5:45am
d