mutakhir

'Ternak' syabu

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: Tindakan empat ‘saintis dadah’ menyamar sebagai penternak kolam ikan terbongkar apabila mereka diberkas pihak polis dalam serbuan di sebuah lombong di Jeram, Gopeng, dekat sini, Isnin lalu.

Empat suspek termasuk tiga beradik berusia 28 tahun hingga 44 tahun itu adalah lelaki warga tempatan dan dipercayai aktif melakukan kegiatan memproses dadah jenis syabu sejak dua bulan lalu.

Taktik licik kumpulan ini memilih kawasan lombong dan kebun kelapa sawit berkenaan terletak tiga kilometer dari laluan utama Jalan Kampar–Ipoh dekat Gopeng sebagai markas memproses dadah itu dipercayai bagi pasaran sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, suspek dipercayai menerima arahan membuat ‘resipi syabu’ itu melalui panggilan telefon dan segala ramuannya kemudian ditulis di dalam buku.

“Siasatan awal mendapati suspek pernah gagal menghasilkan dadah jenis syabu dan terdapat letupan kecil berlaku di situ.

“Suspek menggunakan beberapa bahan kimia untuk menghasil syabu seperti efedrin dan fosforus yang mudah terbakar,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan makmal dadah itu mempunyai pagar dan terdapat beberapa pondok dibina dengan dikelilingi kolam ikan.

Pondok yang terdapat di situ dipercayai digunakan sebagai tempat untuk memasak, tempat pengeringan dan sebagai stor simpanan.

Keadaan kawasan itu yang jauh dari penempatan mungkin menjadi antara faktor utama suspek menyewa di situ untuk melakukan kegiatan mereka.

Serbuan dijalankan jam 2 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar disertai pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Ikhbal Mohd Isa membawa kepada penemuan lokasi dan penahan suspek berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kang Chez Chiang dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam berkata, kegiatan suspek terbongkar berikutan polis menerima maklumat awam sebelum menjalankan siasatan di lokasi berkenaan dan melakukan serbuan.

“Siasatan lanjut membawa kepada menemui 74.55 kilogram (kg) dadah syabu dan 29.35 kg disyaki efedrin dengan jumlah rampasan bernilai RM5.2 juta.

“Turut disita sebuah kereta Proton Gen2 dan Perodua Kembara milik suspek dan semua mereka direman sehingga 20 Mac,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2017 @ 5:48am
d