mutakhir

Mata, telinga masyarakat

Oleh Hamizah Badiran

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mempunyai keunikan tersendiri.

Ditubuhkan pada 1993, Pengerusi MCPF ialah seorang menteri Kabinet yang dilantik penaungnya, Perdana Menteri manakala Timbalan Pengerusi terdiri daripada ex-officio Ketua Polis Negara.

Hasilnya, MCPF bekerjasama rapat dengan badan penguatkuasaan undang-undang bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jenayah dalam kalangan rakyat.

Menurut Naib Pengerusi MCPF, Datuk Kamarudin Md Ali, ia bagi menggalakkan pelbagai sektor dan lapisan masyarakat negara ini memainkan peranan yang lebih aktif mengurangkan jenayah selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Mengurangkan Jenayah (CRI).

NKRA CRI menerusi lima aliran kerja bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 mempunyai beberapa inisiatif selaras dengan objektif pengurangan indeks jenayah.

Lima aliran kerja itu merangkumi mengurangkan jenayah indeks, mencegah kejadian pecah rumah, meningkatkan indeks persepsi keselamatan, meningkatkan kadar pertuduhan bagi kertas siasatan yang dibuka dan meningkatkan kepuasan orang ramai terhadap perkhidmatan polis.

Usaha itu penting bagi menangani persepsi negatif orang ramai dan perasaan takut berhubung isu jenayah meskipun kadar jenayah negara menurun berterusan.

“Kami banyak terbabit dengan program bersama pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi selain turut aktif dengan program pemulihan banduan,” katanya.

MCPF juga terbabit dalam pembangunan Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI), yang terdiri daripada tiga sub petunjuk, masing-masing bagi luar bandar, pesisir bandar dan penduduk bandar.

Ahli Exco MCPF, Datuk Wong Pui Lam berkata, sambutan penduduk bandar menunjukkan perbezaan ketara berbanding dua sub lain kerana permintaan lebih besar.

“Faktor mempengaruhi nombor PCI berbeza antara setiap penduduk,” katanya.

Katanya, sebelum pengenalan PCI, persepsi terhadap undang-undang dan perintah serta penguatkuasaan amat buruk.

“Pada masa itu, statistik diberi polis tidak semestinya dipercayai orang ramai.

“Persepsi adalah realiti dan satu daripada sebab rakyat tidak percaya nombor yang diberikan ialah kekurangan pembabitan pihak polis,” katanya.

Dalam usaha mengkaji lebih lanjut mengenai perkara ini, MCPF turun padang dengan melawat balai polis seluruh negara dan menjalankan temu bual dalam kumpulan fokus dengan wakil semua segmen masyarakat.

Usaha itu membuahkan hasil apabila keyakinan orang ramai terhadap pihak berkuasa mendapat sokongan menggalakkan.

Kamarudin berkata, PCI direkodkan bertambah baik apabila mencatatkan penurunan kadar ketakutan terhadap jenayah 19 peratus iaitu daripada 80 peratus pada 2015 kepada 61 peratus tahun lalu.

“Saya berbincang dengan persatuan penduduk sejak awal 2000 ketika bergelar pegawai polis.

“Baru-baru ini apabila saya berbual dengan persatuan penduduk Bangsar, aduan mereka tidak lagi berkisar mengenai jenayah jalanan seperti seluk saku, tetapi masalah parkir bertindih.

“Ini jelas menunjukkan peralihan tumpuan mereka daripada kebimbangan jenayah jalanan kepada masalah sivik,” katanya.

MCPF memainkan peranannya dalam mengukuhkan hubungan dengan komuniti.

“Kami sentiasa berada di sini, di sisi orang ramai untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan,” kata Wong.

Pihak yayasan kini sedang berusaha melatih ahlinya turun padang bagi mengetahui masalah yang dihadapi di sesuatu kawasan.

Tambahnya, golongan suri rumah, pelajar sekolah, pesara, ahli persatuan penduduk, rukun tetangga dan NGO sebahagian sumber maklumat yang penting.

MCPF membantu membangunkan PCI dengan empat petunjuk iaitu isyarat, ruang saya, penguat dan perkhidmatan, selain mengetahui bagaimana perasaan rakyat mengenai mereka.

Menurut Wong, semua lapisan masyarakat diperlukan untuk mencegah dan mengurangkan kejadian jenayah di negara ini.

Inisiatif Kepolisan Moden dan Omnipresence memainkan peranan penting dalam penambahbaikan kepada angka PCI pada 2016.

“Kami memberitahu polis bahawa kami perlu menghadapi orang ramai dan membenarkan mereka menyoal secara langsung kebimbangan dihadapi atau apa yang dilakukan polis bagi menangani masalah tertentu,” katanya sambil menambah perbincangan meja bulat MCPF diadakan di seluruh negara menyaksikan penyertaan pegawai tertinggi polis berbuat demikian.

Wong bersetuju, inisiatif polis dalam program ‘meet and greet’ dengan masyarakat umum secara progresif menyemai dan mengukuhkan imej polis sebagai sahabat dan pelindung rakyat, sekali gus mengurangkan ketakutan mereka melakukan jenayah.

“Kami mahu rakyat ke balai polis bukan saja untuk membuat kenyataan dan laporan, tetapi melawat untuk berbual dengan pegawai polis yang bertugas atas dasar rakan serta komuniti,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2017 @ 5:56am
d