mutakhir

Pesona musim tecoma

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Alor Setar: Bandaraya Alor Setar kembali berseri apabila ratusan pokok tecoma yang ditanam di sekitar bandar raya ini mula berbunga beberapa hari lalu.

Tecoma atau nama saintifiknya tabebuia rosea akan berbunga pada musim kering dan panas sekitar Februari hingga Mac ditanam oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sejak 15 tahun lalu sebagai landskap yang mengindahkan jalan utama di ibu negeri ini.

Tinjauan mendapati, Jalan Kuala Kedah dan Jalan Langgar antara jalan utama yang indah dihiasai bunga yang berasal dari Amerika Selatan itu.

Bagi seorang jurugambar profesional, Shaiful Azhar Abu Bakar 49, berkata, musim bunga ini dinanti oleh peminat seni fotografi terutama genre landskap dan panorama.

“Panorama indah ini mampu menjadi satu tarikan pelancongan kerana seperti musim bunga sakura di Jepun tetapi satu kekangannya, ia cuma mampu bertahan sekitar dua minggu sahaja sebelum layu dan luruh.

“Mungkin pihak MBAS perlu mencari kaedah untuk memastikan tecoma ini berbunga lebih lama dan cadangkan mereka mewujudkan Taman Sakura Malaysia sememangnya langkah yang tepat,” katanya.

Bagi menambahkan keceriaan tarikan musim bunga ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat Kedah, Datuk Suraya Yaacob menganjurkan pertandingan fotografi berkenaan bunga ini dan sesiapa yang berminat boleh melawat laman Facebook beliau.

Disiarkan pada: March 16, 2017 @ 6:10am
d