mutakhir

Atirah dikehendaki

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Polis mengesan seorang wanita disyaki terbabit dalam perbuatan khianat dengan membakar kereta dan rumah.

Dia dipercayai melakukan perbuatan itu secara berasingan dalam kejadian di Telipot dan Kubang Kerian, di sini, pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, wanita terbabit dikenali Nur Atirah, 27, berasal dari Tumpat dan dipercayai masih berada di negeri ini.

“Kami mengesannya untuk bantu siasatan kes. Saya minta dia tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pengkalan Chepa, di sini.

“Sebelum ini, laporan kebakaran itu dibuat mangsa yang juga bekas suami yang berusia 30-an dan mentuanya.

“Kes pertama babitkan kebakaran kecil di rumah bekas suami di Telipot manakala kes kedua membabitkan kereta Toyota Wish yang diletakkan di hadapan rumah bekas mentuanya di Kubang Kerian,” katanya di sini, semalam.

Baharom berkata, orang ramai yang mengenali wanita berkenaan yang juga peniaga diminta menghubungi IPD di talian 09-7752200.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 16, 2017 @ 8:41am
d