mutakhir

5 tahun bohong

Oleh Shamsul Munir Safini dan Rudy Syareme Sheriffudin

Bukit Mertajam: “Sudah lima tahun saya kerja iaitu sejak habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lagi,” kata pelayan pelanggan (GRO) warga tempatan yang diperiksa Jabatan Imigresen negeri di pusat hiburan di sini, malam kelmarin.

Gadis berusia 22 tahun itu tinggal di Bagan Ajam, dekat sini dan mendakwa bekerja sedemikian bagi menampung hidupnya.

Dia yang mahu dikenali sebagai Amie, anak bongsu daripada tiga beradik dan ibu bapanya hanya bekerja kilang.

“Pendapatan ayah hanya cukup bagi menampung belanja rumah. Kakak dan abang pun bekerja sendiri.

“Keputusan SPM saya tidak cemerlang dan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Ketika ditanya sama ada keluarganya tahu mengenai kerjanya, dia memberitahu ibu dan bapanya hanya tahu dia bekerja sebagai pelayan di restoran.

Amie antara 71 individu diperiksa imigresen dalam tiga serbuan berasingan di pusat hiburan dan restoran di sini serta Georgetown.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Khwaja Banthey Navaz berkata, 24 warga asing termasuk sembilan wanita ditahan dalam tiga serbuan bermula jam 10 malam itu.

Beliau berkata, pihaknya menahan 15 lelaki warga Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan India serta sembilan wanita warga China, Thailand dan Vietnam.

Menurutnya, ada di antara pemilik premis enggan bekerjasama termasuk cuba menyembunyikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis selepas diminta.

“Mereka memberikan pelbagai alasan termasuk tidak tahu tempat pelayan komputer rakaman itu disimpan.

“Rakaman itu diperlukan untuk siasatan namun selepas pemeriksaan kami menemui server itu dan tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan di kafe di Jalan Anson, Georgetown, penemuan cip berwarna di dalam beg tangan milik dua wanita warga China membongkar kegiatan maksiat mereka dan cip itu boleh ditukar kepada wang tunai yang diberikan pelanggan.

Menurutnya, tiga wanita warga China berusia antara 30 hingga 40-an ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen diminta dan soal siasat mendapati seorang daripada wanita itu memiliki kad pelajar kolej di Kuala Lumpur.

Katanya, mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Disiarkan pada: March 17, 2017 @ 4:53am
d