mutakhir

Misi murni ke Chad [METROTV]

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: “Misi kemanusiaan dan membina masjid di negara miskin Chad, Afrika, ini adalah bukti keprihatinan melalui sumbangan kewangan rakyat Malaysia,” kata Presiden Pertubuhan Muslim Care (MC) Malaysia Zulkifli Wahijan.

Beliau berkata, ini adalah misi kemanusiaan kali pertama dilakukan Muslim Care ke negara miskin di Afrika yang dikenal pasti berdepan isu kemarau, kemiskinan, kekurangan bekalan makanan dan pendidikan.

Beliau ditemui ketika mengetuai misi kemanusiaan terbaru pertubuhan Muslim Care Malaysia ke Chad, Afrika bersama tujuh ahli pertubuhan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Turut serta dalam misi itu adalah Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia, Zakaria Latif, Pengarah Urusan Dana MC Sham Samad, aktivis Muslim Care Natipah Abu dan Ahmad Fikri Anizat.

Menurutnya, pihak Muslim Care sudah mengenal pasti lokasi di utara Chad sebagai tapak pembinaan pusat pendidikan Islam yang dicadangkan itu.

“Ia membabitkan kos awal RM200,000 dan pihak Muslim Care dibantu aktivis serta masyarakat Malaysia berjaya mengumpulkannya. Malah projek ini turut disokong penuh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kerjasama Persatuan Kejuruteraan Awam (Peka), UTM Accounting Club (UTMAC) dan American Institute Of Chemical Engineer UTM Student Chapter (AICHE).

“Orang ramai yang mahu menyumbang masih boleh melakukannya dengan menyalurkan sumbangan atau wakaf kepada Muslim Care melalui akaun Maybank 564490413882, RHB Bank 26212000004747, Bank Islam 14014010147470 atau kepada UTM Humanitarian Mission melalui CIMB Bank 8602777801,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2017 @ 6:45am
d