mutakhir

'Line kini dah clear' [METROTV]

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: “Alhamdulillah, kami dibenarkan beroperasi semula selepas empat hari ditutup,” kata pengusaha Restoran Nasi Kandar Line Clear (RNKLC) di Jalan Penang, di sini, selepas notis penutupan selama dua minggu ditarik balik oleh Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut, semalam.

Sahubar Ali Mohd Hanibah berkata, selain gembira, pihaknya berterima kasih kepada jabatan berkenaan dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana membenarkan RNKLC beroperasi semula mulai hari ini selepas mematuhi arahan kebersihan ditetapkan.

Menurutnya, sejak RNKLC diarahkan ditutup selama dua minggu kerana kotor termasuk penemuan bangkai tikus serta tikus dan lipas, pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan kepada mereka termasuk dakwaan hanya mementingkan keuntungan tanpa menitik berat soal kebersihan.

Katanya, dakwaan dilemparkan itu tidak benar sama sekali selain dia akur dan mengaku cuai di atas apa yang berlaku dan memberi jaminan kejadian sama tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

“Cukuplah kami dihina dan dikeji dan berharap orang ramai akan terus mengunjungi RNKLC kerana kami benar-benar sudah ‘Line Clear’ selepas kerja pembersihan dilakukan sejak Isnin lalu.

“Pada jam 10 pagi tadi kami pergi ke Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan memaklumkan bahawa kerja pembersihan selesai dan satu pemeriksaan lanjut dilakukan pada jam 11 pagi sebelum pegawai berkenaan berpuas hati dengan tahap kebersihan RNKLC.

“RNKLC akan mula beroperasi semula mulai esok (hari ini) jam 9 pagi dan sebagai tanda kesyukuran, kami akan bersedekah dengan memberi air sirap secara percuma kepada pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2017 @ 7:57am
d