mutakhir

Waran tangkap

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Polis sudah memperoleh notis merah dari Polis Antarabangsa (Interpol), untuk menahan empat warga Korea Utara yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, empat individu berkenaan ialah O Jong-gil, 55, Ri Jae-nam, 57, Ri Ji-hyon, 33, dan Hong Song-hac, 34, yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika pembunuhan itu berlaku.

Menurutnya, mereka dipercayai meninggalkan Malaysia sebaik pembunuhan itu berlaku dan polis percaya mereka sudah berada di Pyongyang.

“Saya ingin memaklumkan, kami (Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memperoleh notis merah daripada Interpol untuk menahan empat warga Korea Utara yang berada di lapangan terbang ketika insiden itu berlaku.

“Kami berharap dapat menangkap mereka melalui Interpol. Siasatan masih diteruskan dan belum selesai,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Rohingya (ICR) 2017 di sini, semalam.

Notis merah Interpol adalah instrumen yang paling hampir dengan waran tangkap antarabangsa yang digunakan ketika ini, dan Interpol akan mengedarkan notis berkenaan dalam kalangan negara yang disenaraikan untuk individu berkenaan diekstradisi.

Sementara itu, Khalid berkata, siasatan terhadap mayat Jong-nam sudah selesai dan pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar untuk mengendalikannya.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, usaha menjejaki tujuh suspek termasuk empat yang sudah meninggalkan negara ini pada hari pembunuhan Jong-nam dibuat menggunakan semua saluran termasuk mendapatkan kerjasama Interpol.

Disiarkan pada: March 17, 2017 @ 8:06am
d