mutakhir

Derma lepas solat

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Masjid Negara menjadikan penganjuran Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan 2017 kali ini sebagai satu bentuk promosi menderma sambil melancong di Masjid Negara.

Timbalan Imam Besar Masjid Negara, Mamat Said berkata, kempen siri yang pertama tahun 2017 itu bukan sahaja menggalakkan kesedaran orang ramai untuk bersedekah, malah ia turut memperkenalkan Masjid Negara sebagai destinasi tumpuan di Kuala Lumpur.

Katanya, kempen dengan kerjasama Pusat Darah Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia itu sekali lagi berjaya mendapatkan lebih 100 penderma dari jam 10 pagi sehingga 4 petang seperti dicapai pada penganjuran sebelum ini.

“Kita sangat mengharapkan lebih ramai yang akan menderma darah di Masjid Negara pada siri yang kedua dan ketiga dalam tahun ini selepas memberikan lebih banyak publisiti serta promosi yang lebih meluas serta informasi awal.

“Penderma bukan saja disasarkan dalam kalangan jemaah solat Jumaat dan penjawat awam di jabatan berdekatan masjid, malah kita harapkan masyarakat luar yang datang melancong di Kuala Lumpur,” katanya ketika melawat pameran itu di Anjung Makam Pahlawan masjid itu, di sini, semalam.

Menurutnya, tujuan utama kempen itu diadakan sejak 2002 membantu Pusat Darah Negara mengisi tabung darah serta alternatif ke arah kebajikan yang dilakukan Masjid Negara kepada masyarakat umum.

“Ia adalah aktiviti yang dirangka oleh Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid dalam memberi informasi serta pendidikan yang berguna mengenai kesihatan kepada orang ramai.

“Sekali gus ia sebagai langkah untuk mengimarahkan Masjid Negara sebagai masjid kunjungan pelancong. berkunjung, bersolat, beramal sambil menderma,” katanya

Disiarkan pada: March 18, 2017 @ 7:28am
d