mutakhir

Hulur bantuan

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak trup dan aset di Riyadh, Arab Saudi ke Somalia.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pasukan itu bagi misi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Somalia yang kini berada dalam keadaan kebuluran berikutan kemarau yang berpanjangan.

“Kekuatan trup yang akan diatur gerak seramai tiga pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) disokong kumpulan infantri berkekuatan 1 seksyen (satu pegawai dan 10 anggota) bagi memberi perlindungan keselamatan kepada pasukan Malaysia.

“Bagi aset, sebuah pesawat Hercules C-130 TUDM akan membawa bersama-sama ubat-ubatan dan makanan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, anggota ATM yang berada di Arab Saudi diatur gerakkan kerana pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki selama menjalani latihan di sana.

“Pengalaman dalam operasi evakuasi rakyat Malaysia dari Yaman dan latihan bersama-sama Angkatan Tentera Arab Saudi sebelum ini membantu anggota kita membiasakan diri kepada persekitaran dan struktur muka bumi di benua berkenaan, sekali gus membolehkan kita merancang dan melaksanakan operasi ini di Somalia,” katanya.

Hishammuddin berkata, keputusan itu dicapai susulan pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri Somalia Mohamed Omer Arteh Ghalib di Parlimen pada 14 Mac lalu.

“Pada pertemuan itu, beliau memohon Kementerian Pertahanan menyalurkan bantuan makanan dan perubatan serta kepakaran anggota perubatan ATM kepada Somalia.

“Saya sudah memaklumkan permohonan ini kepada Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini (semalam). Jemaah Menteri bersetuju dan meluluskan permohonan itu,” katanya.

Sementara itu, katanya, Malaysia berusaha dalam pelbagai cara membantu rakyat Somalia termasuk mendapatkan sokongan dan bantuan negara yang rapat terutama Arab Saudi, Bahrain, Qatar dan negara ASEAN.

Disiarkan pada: March 18, 2017 @ 7:41am
d