mutakhir

'Pembunuh' hasil laut

Jika dahulu, aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bom hanya dilakukan segelintir nelayan menggunakan bot kecil, namun sejak kebelakangan ini, kaedah mengebom ikan membabitkan sindiket terancang didalangi individu tertentu bagi mengaut keuntungan besar.

Apa yang menyedihkan, perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menjejaskan hasil tangkapan nelayan lain, tetapi menjadi penyumbang kepada kepupusan pelbagai spesies ikan dalam jangka masa panjang.

Malah, segala jenis terumbu karang menjadi tempat pembiakan dan pertumbuhan hidupan akuatik dan tarikan pelancong dalam dan luar negara musnah begitu saja.

Menurut sumber, aktiviti mengebom ikan biasanya dilakukan di sekitar pulau di perairan Kota Kinabalu antaranya Pulau Gaya, Pulau Sepanggar, Pulau Uda dan Pulau Mengalum serta Terumbu Sumai.

“Aktiviti mengebom ikan juga dilakukan di kawasan perairan Papar di Pulau Dinawan dan Pulau Mantanani di Kota Belud.

“Lokasi ini biasanya ialah kawasan yang terdapat batu karang dan terumbu karang yang kaya dengan pelbagai jenis ikan,” katanya.

Sumber berkata, selain itu, penangkapan ikan menggunakan bom dilakukan di kawasan atau pulau terpencil di negeri ini.

Namun, ia sukar dikesan memandangkan kelicikan pihak terbabit dalam menghapuskan bukti selepas melakukan aktiviti itu.

“Sindiket bom ikan yang baru dikesan menggunakan kapal nelayan lebih besar bagi membawa hasil ikan sehingga dua tan pada satu-satu masa.

“Sindiket ini diketuai individu yang mengendalikan perusahaan bot ikan bersaiz besar dan mempunyai 12 bot besar dan tinggal di Kampung Pondo di Pulau Gaya,” katanya.

Menurutnya, pendaratan hasil ikan tidak dipunggah di Pasar SAFMA di Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun, mereka bermalam di sekitar Kampung Pondo dan Kampung Ulu Kurai. Bagi pasaran ikan di bandar raya Kota Kinabalu, ikan dipunggah dari Pulau Gaya ke jeti SAFMA menggunakan bot penumpang.

“Aktiviti dijalankan sebelah malam hingga lewat malam. Pemunggahan semua hasil ikan menggunakan bot nelayan tempatan, bot pam, mahupun bot pelancong untuk diagihkan kepada pembeli tetap yang sedia menunggu di beberapa perkampungan atas air.

“Antara lokasi itu ialah Kampung Numbak, Kampung Bakau, Kampung Likas dan beberapa lagi perkampungan di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Adam Aziz berkata, aktiviti mengebom ikan sudah lama berlaku.

Beliau berkata, baru-baru ini aktiviti mengebom ikan dilakukan sindiket berkenaan tanpa menyedari perbuatan itu merosakkan keindahan flora dan fauna di laut terutama terumbu karang.

“Bukan itu saja, ia menjejaskan ekosistem di laut terutama ikan kecil dan semuanya musnah akibat aktiviti bom ikan.

“Malah perbuatan itu berbahaya kepada penyelam yang melakukan aktiviti menyelam khususnya di kawasan Pulau Mantanani.

“Selain itu, aktiviti mengebom dilakukan di kawasan pelantar minyak dan ia boleh merosakkan saluran paip minyak,” katanya.

Adam berkata, kes mengebom ikan bukan saja berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu, malah Labuan, Kota Belud dan Kudat.

“Siasatan mendapati aktiviti mengebom ikan kini didalangi individu tertentu dan kami sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan individu itu.

“Mereka mempunyai bot nelayan besar untuk mengangkut hasil yang banyak. Jika dahulu aktiviti bom ikan dilakukan nelayan menggunakan bot pam, namun kini bertukar kepada nelayan bot besar untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi melakukan aktiviti mengebom ikan. Ini berdasarkan tangkapan dilakukan yang mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Menurutnya, aktiviti mengebom ikan sukar dikesan kerana pelaku cepat memusnahkan bahan bukti ke laut jika menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kejayaan APMM merangka operasi khas membendung aktiviti ini dapat dilihat dalam siri tangkapan Oktober, November, dan Disember tahun lalu dengan tertumpasnya empat bot nelayan menjalankan aktiviti bom ikan.

“Sehubungan itu, individu menjalankan aktiviti bom ikan diminta menghentikan serta-merta kegiatan itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2017 @ 7:45am
d